Sunday 21 June 2015

Apabila Syawal datang Lagi
 hairieghazali bertamputra 24 Julai 2014- 6 pm...
Malam sebelum malam raya .............

Pie kebingungan lagi. Lagu-lagu raya dari corong radio memenuhi ruang kamar tidurnya. Malam makin gelap, hatinya mula bertambah kelam. Ramadhan kian berakhir,syawal yang bakal kunjung tiba. Pie memikirkan bagaimanakah syawal yang bakal menjelma akan dilaluinya? Adakah syawal nanti seperti syawal yang telah dilalui lima tahun kebelakangan ini? Segalanya menjadi kosong seumpama tong minyak yang ketiadaan minyak. Hati kecilnya berdetik.  Jika ini akan terjadi, sia-sialah seluar Levis 505 bundle yang dibelinya di “Uptown’ Danau Kota.

Mampukah dia menyambut syawal dengan hanya ditemani tin biskut dan dinding rumah sewanya yang telah kemuraman catnya? Pie mengesat air matanya yang mula bergenang dikelopak matanya. Nasib baik teman sebiliknya, Romat Lee yang berasal dari seberang  telah lama terlelap diulit mimpi. Mungkin bertemankan mimpi cewek-cewek sinetron dari seberang. Sekurang-kurangnya Romat tidak perasan yang dia dalam kesyahduan dan kesayuan waktu ini.

Pie masih terkeliru. Acap kali menjelmanya syawal sepanjang lima tahun dia sudah terbiasa menangis tak berlagu. Segalanya menjadi mimpi yang tak sudah. Tapi kali ini amat memeritkannya. Walaupun nyanyian lagu-lagu raya dendangan Allayarham P Ramlee, Allahyarham Ahmad Jais, ataupun dendangan Allahyarham Sudirman masih sedap kedengaran dan meruntun jiwa,  Namun lagu-lagu ini belum mampu merawat kesedihannya di hari syawal, malahan lagu-lagu ini terlalu menyebak hatinya.  Kerinduan Pie pada kampung halaman, mak ayahnya, abang adiknya serta kawan-kawannya amat terbuak-buak terasa.

Bila mengenang janjinya pada diri sendiri, pendirian Pie   tetap utuh dan padu, janjinya seakan dipatri kukuh dan mampat, tetap takkan bersemuka dengan mak ayahnya, adik dan abangnya serta kawan-kawan di kampung selagi dia tidak mencapai apa yang dihajatinya. Pendirian tetap satu. Selagi dia tidak bergelar ‘kaya’, dia tidak akan menjejak kakinya ke kampung dengan status “tidak kaya”. Biar di Kuala Lumpur inilah dia membawa diri, bekerja sebagai buruh kasar, Pie memperjudikan untung rugi nasibnya, meninggalkan kampung halaman, meninggalkan sawah bendang lintah pacat dan meninggalkan semua mengikut kata hatinya. Kerana itulah Pie sanggup memutuskan hubungan buat sementara dengan semuanya di kampung mencuba nasib di kota raya.

Dikota raya yang penuh dengan cabaran dan harapan inilah bertemankan bangunan yang tinggi melambai, bersaksikan bas Rapid Kota, komuter, lrt, dan bangunan yang merayup tinggi, Pie berjanji. Biarlah janjinya seumpama mencari sepuluh sen didalam sungai yang dalam, biarpun susah payah bagai mencari jalan keluar di dalam hutan mengkuang yang tebal, Pie berikrar biarpun dia meneka dalam kesamaran, meniti-titian usang dan bernafas dalam lumpur dia akan berusaha bersungguh-sungguh demi menunaikan janjinya.

Siti Shahirah....Semuanya kerana Siti, kerana Sitilah Pie terdampar dikota raya ini, kerana Sitilah dia jadi perindu sepi, dan kerana Sitilah dia berikrar dan berjanji. Hatinya terasa begitu pilu bila teringatkan Siti. Kelibat wajah gadis ayu sentiasa bermain dimindanya.  Dia masih teringat akan gadis berlesung pipit dan berkulit kuning langsat itu. Tak disangka dan tak diduga, gadis yang sentiasa mengukir senyuman setiap kali bertembung secara ikhlas dan  rela hati menolak cintanya tanpa paksaan. Seingat dan seperasan Pie, Siti juga memendam perasaan yang sama padanya, rupa-rupanya, ayat-ayat dan bait-bait yang diluahkan oleh Siti sungguh melukai hatinya. Siti tiada langsungpun perasaan terhadap Pie yang terperasan keseorangan.  Bagai botol kaca berisi kicap pekat masin yang terhempas di lantai mozek, segala pecah menjadi kaca berderai.  Impiannya menjadi luluh dan hancur belaka bila terluka kerana Siti.  Sesungguhnya kata-kata yang keluar daripada mulut Siti amat menyedarkan Pie tentang dia siapa. Insan yang tak punya apa. Pie mula sedar akan kekurangan yang apa padanya.

Setelah pasti akan cintanya terhadap Siti bertepuk sebelah tangan, maka dengan beg galas yang dibeli dari duit hasil menyembur racun di sawah Haji Adam, Pie melangkah kaki menaiki bas menuju di  Kuala Lumpur yang mungkin  menjadikan seribu kebahagiaan untuknya untuk mengharungi hidup bersama-sama janjinya. Dia perlu berusaha bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai janjinya. Bila semuanya telah tercapai, barulah  dia akan kembali menjejak semula ke kampung halamannya. Biar semua orang membuka mata, biar semua orang melopong, ternganga dan terkejut.  Pie yang lima tahun dahulu bergelumangan selut disawah padi kini dah menjadi kaya.  Biarlah mak ayah dan  keluarganya tumpang berbangga dan Pie berharap biarlah Siti kesayangannya memujuknya menerimanya kembali, Pie hati tetap terbuka untuk Siti. Siti tetap dalam angan angaunya. Siti tiada tolok bandingnya. Pie amat berharap Siti masih belum disunting. Berharap sangat Siti mengakui kesilapannya dulu apabila menolak cintanya dan berharap Siti merasai apa yang dia rasa. Saban hari, saban waktu dan saban masa, dia amat merindu dan teringatkan Siti.  Itulah yang dikatakan demi cinta setia. Walaupun berlaku suram, segalanya akan berakhir dengan keindahan yang penuh pancaran nan indah. Itulah yang Pie harapkan.

Malam Raya.............

Terasa letih bekerja siang tadi, walaupun penat lelah, lapar dahaga, Pie mampu berpuasa. Pie tersandar pada dinding. Rokok kretek pemberian Romat Lee disedutnya perlahan-lahan. Lamunan Pie tersekat bila dikejutkan akan pengumuman hari raya dan diiringi suara takbir dari televisyen  menandakan hari raya akan menjelma esok. Hatinya mulai resah gelisah. Dirinya terkeliru dan terbelenggu. Sudah lima tahun hidupnya seperti ini, tapi syawal kali ini merentap jiwanya. Pie tertanya-tanya, entah mengapa syawal kali ini yang bakal datang dan tiba ini begitu mencabar hati naluri dan benaknya.  Kerinduan pada semua di kampung seakan tidak mampu dibendungnya lagi. Rindunya terlalu rindu yang semakin rindu dan amat merindu.
Pie  cuba mengalih pandangan keluar dari muka pintu. Matanya sayup-sayup tertumpu pada anak-anak kecil berlari-larian bermain bunga api. Teringat Pie akan Haliza, adik perempuannya. Tika dan saat ini tentu dia pun sibuk untuk merayakan syawal dengan memasang langsir dan sarung kusyen yang baru. Maknya tentu sibuk didapur. Ayah dan Abang Dinnya mungkin  ini berada di surau untuk menunaikan zakat fitrah. Pie merasa lega kerana minggu lepas dia telahpun menunaikan kewajipan itu disurau berdekatan rumah sewanya.

Pie meneguk perlahan-lahan air sirap yang dibeli dari pasar ramadhan dilorong jalan tak jauh dari rumah sewanya.  Walau kemanisan dan kesejukannya telah hilang namun warnanya masih kemerah-merahan.  Suara takbir dari surau berdekatan makin jelas kedengaran,  dan menambah kesyahduan.  Pie cuba memujuk hatinya.  Selama ini dia mampu menahan, takkan  kali ini dia menyerah kalah. Dia sedar yang dia tak punya teman untuk meluahkan rasa hati tika malam ini.  Romat sejak petang tadi keluar untuk beraya bersama kawan-kawan senegaranya. Mungkin seminggu baru balik.
Pie masuk semula kedalam bilik. Dirinya makin tak keruan.  Pie membuka radio bagi memujuk hatinya. Kali ini naluri Pie terus bergelora berkocakan bila terdengar bait-bait lirik lagu “Dendang Perantau”, dendangan Allahyarham P. Ramlee.  Pie cuba lagi memujuk hatinya.
Apakan daya masa tak akan kembali, hancur musnahlah semuanya...........
 Pie terasa tidak ketahuan. Dia bingkas menutup radio dan keluar ke muka pintu bagi menenangkan kepalanya  pening yang tidak pening itu. Pie mengelamun sendiri. Resah gelisah amat mencabar minda.

Abang.Pie,..tak balik raya ke?”. Ada suara yang menegurnya menyebabkan  Pie tersentak dari lamunan. Rupanya Pian anak abang Usop, jiran sebelah yang sedang membantu mak ayahnya mengangkat barang masuk ke kereta.
Bang..rugi tau..kalau tak beraya dikampung’. Suara Pian perlahan tetapi  amat mencengkam  hati. Sekali lagi Pie terdiam dan melangkah masuk ke dalam rumah. Air matanya kini menyusur laju selaju kereta formula satu. 

Kenapa  kerinduan ini tidak lagi ditahan-tahan?  Jika lima tahun dulu, empat  tahun dulu, tiga tahun dulu, dua tahun dulu dan tahun lepas, dia boleh bertahan, kali ini semuanya seakan telah menguji kesabarannya. Dia tak mampu lagi.  Kelibat wajah mak ayah, abang, adik-adiknya serta kampung halaman makin jelas kelihatan.  Wajah Siti kesayangannya juga yang acap kali tersenyum meminta dia balik beraya di kampung.
Hati Pie semakin membuak keresahan yang  tidak keruan.  Istilah raya berkocak dimindanya. Apa ertinya raya kalau tidak beraya. Walaupun tidak berkasut raya, berbaju raya, dan bersongkok raya, takbir raya kali ini seakan mencengkam ruang hatinya.  Terasa rindu yang agak sayu.  Haruskah raya kali ini menjadi sejarah pahit untuknya? Pelbagai persoalan demi persoalan terus menjadi tanda tanya tanpa tanda koma. Pie tidak mahu raya kali ini menjadikan dia seperti hantu raya, sepi dan sayu tak bertuan.  Raya kali ini adalah hari raya.  Tiada lagi jalan raya, lebuh raya, balai raya, bunga raya atau apa-apa tentang raya.Yang pastinya dia perlu merasai hari raya bersama keluarganya, bersama adik abang dan bersama kawan-kawan di kampung.  Yang paling pasti walaupun Siti bukan kekasih hatinya, sekurang-kurangnya raya kali ini memberi makna serta erti yang indah dalam hidupnya.

Biarlah, biarlah kepulangan kali ini bukan membawa pulang impiannya.  Kepulangan tiada kemewahan yang diimpikan.  Tapi biarlah, bak kata pujangga, setinggi-tinggi terbang bangau,  hinggap kebelakang kerbau juga.  Pie harus tabah dan sedar dengan kekurangan situasi begini.  Pie sedar akan kegagalannya dalam menghitung nasib hidup di kota raya yang penuh cabaran ini.  Lima tahun hidupnya, Pie masih sebatang kara, tiada harta yang dibanggakan. Memang susah untuk hidup sebegini.  Demi sesuap nasi dan seteguk air, Pie harus akur tentang nasibnya walau impiannya itu tidak menjadi.

Beg sandang dicapainya dengan hati terbahagi gembira dan resah.  Sehelai seluar kodroi, sehelai seluar levis 505 bundle dan tiga helai t’shirt dicapainya dan dimasukkan kedalam beg yang sama digunakan semasa melangkah dari kampungnya dulu, Pie melangkah keluar dari rumah sewa bujangnya. Pie sedar tika dan saat ini tak akan ada lagi tiket bas mahupun keretapi.  Jadi atas rasa hati, Pie menuju  mencari pengangkutan yang boleh ditumpangnya. Pie sedar memang perlukan usaha tika ini. Setelah puas berjalan, melilau dan bertanya, akhirnya Pie berupaya menumpang sebuah lori yang sarat dengan surat khabar yang secara kebetulan lalu ke pekan berhampiran kampungnya. Pie tak kisah walaupun dalam kepulangannya menumpang lori ini tidak seselesa menaiki bas, keretapi ataupun kereta, yang penting impian dan harapan untuk pulang beraya telah tercapai.  Dari pekan, Pie berjaya mendapatkan teksi untuk sampai ke kampungnya sehingga sampai di tepi jalan menuju ke rumahnya.

Pagi raya..................

Pie meneruskan langkah  merentasi laluan jalan  menghala ke rumahnya.  Suasana kampung masih banyak tak berubah. Suara kokokan ayam jantan yang sayup kedengaran amat membangkitkan nostalgia masa dulu, tetap mendamaikan. Kelihatan lampu panjut buluh yang menghiasi pintu gerbang kampungnya ada yang masih bernyala, seakan memberi cahaya keindahan yang menyinari padanya.  Semoga hari raya kali ini menjadi terindah dan bermakna baginya.

Langkah kaki Pie yang guntai itu terhenti apabila melihat mak dan ayahya terpaku dari jauh melihat kepulangannya.  Suasana penuh kegembiraan, air mata mak dan ayahnya mencurah keluar melihat Pie. Haliza, adik perempuannya juga begitu. Pertemuan yang diikat semula setelah 5 tahun tidak bersua, telah  kembali bertaut pagi syawal yang indah. Syawal datang lagi, datang dengan penuh keindahan dan keikhlasan.

Ternyata suasana dirumah tetap tak berubah. Segala tetap lebih kurang sama seperti kali terakhir dia meninggalkan rumah pusaka ini. Hati Pie terasa amat bahagia bila memandangkan keluarganya di hari berbahagia ini.

Pie terasa ada kekurangan pagi ini. Kemana hilangnya abang Dinnya.  Selalunya waktu ini, abang Din antara penyibuk.  Maknya disuruh menyerika baju melayu kerana abang Din banyak kelemahannya jika dibandingkan dengan Pie. Abang Din banyak mengharap ibu dan bapanya dalam mengatur hidupnya.

Mak, mana abang?” Tanya Pie bila melihat langsung tiada kelibat abangnya itu. Takkan merajuk lari sepertinya juga. Detik hati Pie.
“Ooo...abang Din hang...petang ni balikla”. Jelas maknya .
Abang pi mana Mak”? Tanya Pie lagi sambil menjamah kuih-kuih yang terhidang diatas meja dengan matanya yang kelepuk-kelepuk. Kerana kurang tidur akibat melayan Mat Jo, pemandu lori surat khabar yang ditumpanginya semalam.
“La.... lupa nak habaq, abang hang dah kahwin dua bulan lepas. Tula masa kenduri, dia dok melilau cari hang suruh hang balik, tapi tak jumpa. Dia  kahwin dengan orang kampung sebelah, petang raya satgi balikla”. Jelas mak Pie lagi sambil membetulkan tudung kepalanya yang kelihatan senget.

Pie tersenyum sendirian. Dah kahwin rupanya abang Din. Kalau nak dibandingkan ketrampilan, ketampanan dan kehenseman dengan abangnya itu, ternyata semua lebih kepadanya. Ada juga yang minat dengan abangnya itu.  Kalau jodoh tu, jodoh juga.
Pie...cepat Pie..hang bawa adik, ayah bawa mak”. Lamunan Pie terhenti apabila disahut oleh ayahnya yang sedang memanaskan motor SYM 110 Bonus  memanggilnya untuk cepat kesurau.
Dengan berbaju melayu peninggalan abangnya itu, Pie ke surau dengan penuh kesyahduan.  Terasa terlalu indah dan bahagia bila beraya di desa.

Petang raya.............

Syawal kali ini penuh bererti. Seronoknya tak terkira.  Zamri, Rashid, Amir, Kamal, Azam dan ramai lagi yang ditemuinya di surau tadi masih seperti dulu.  Tetap mesra dari zaman kanak-kanak lagi walaupun ada yang telah berumahtangga.  Cuma Shahrin, Mustaza  dan Fuad saja yang tidak kelihatan.  Mereka seperti abang Din yang beraya di rumah mentua. Itu untungnya bila dah berkeluarga, boleh merasai raya dengan keluarga sendiri dan keluarga mentua. Pie sedar akan kekurangan dia tika dan saat itu.  Mungkin jodoh belum sampai.

Apa khabarkah gerangannya Siti? Gadis kampung sebelah beraya tika ini. Mungkin sibuk melayan tetamu. Harapan Pie masih ada ruang hati Siti untuknya. Dan harapan Pie sebolehnya petang-petang nanti bolehlah dia meronda, melihat dan meninjau  kelibat rumah Siti dan sebolehnya kelibat Siti sekali.  Sekurang-kurang terlepas dendam rindunya pada Siti.

Terasa kesedapan kuih sepit, bahulu dan dodol yang dijamahnya sebelum ke surau tadi seakan memberi erti betapa nikmatnya beraya bersama keluarga. Bahagia dihati Pie bahawa raya kali ini tidak seperti raya-raya yang dilalui di kota raya yang lalu. Segalanya terlalu indah.

Pie termenung diatas pelantar buluh bawah pohon mempelam.. Perutnya masih terasa  kekenyangan dek penangan laksa ikan temenung di rumah Haji Bashir, nasi daging di rumah Pak Teh Nan, ketupat daun palas Mak Yam dan mee tomyam dirumah Lebai Mail, jirannya. Matanya meliar dan melilau jauh kejalan raya. Terasa rindunya juga pada abangnya. Hati Pie masih tertanya-tanya. Siapakah gerangan insan yang memberi tuah kepada abangnya itu.
“Mak...awat abang tak balik lagi” Tanya Pie keresahan.
Satsat lagi balikla”. Jawab Mak Pie dari atas rumah. Maknya tahu betapa  rindunya Pie pada abangnya itu.
Tiba-tiba mata Pie tajam memandang pada sebuah kereta Proton Iswara putih  menghala tepat ke rumahnya. Deruman injin kereta semakin menghala kerumahnya. Pie pasti itu kereta abangnya.  Hatinya gembira tak terkira. Mak, ayah dan adiknya bingkas turun dari rumah. Kereta abang Din berhenti tidak jauh dengan Pie.  Pemandunya cepat-cepat keluar dan berlari menuju kepada Pie. Itulah Nordin, satu-satu abangnya.
Bagaikan program Jejak Kasih, Pie dan abang Din berpeluk sakan kerana lama tak jumpa. Pie tahu akan abangnya juga merindu dan sentiasa menunggu kepulangannya. Memang Pie dan abangnya amat rapat kerana usia mereka cuma selang dua tahun sahaja.

“Pie..ni kak ipaq hang” Abang Din memperkenalkan isterinya pada Pie.
Pian berpaling kearah kakak iparnya. Berdentum bagai mercun bola yang membakar dan meletup didadanya. Pie tersentak semacam tidak percaya.  Pie terasa hampir pitam.  Sememangnya yang disangkanya takkan terjadi sudah terjadi.  Sesuatu yang dibayangi tak realiti menjadi pasti , sidia yang  pernah dipuja-puja, yang cuba ditawan hatinya,dan yang pernah menolak cintanya, Siti Shahirah kini menjadi kepunyaan abangnya.

Pie cuba memujuk hati, semua menjadi bagai satu cerita di dalam cerita.  Apabila syawal datang lagi, dan inilah yang terjadi............

TAMAT..
Cerita ini hanya nukilan dari penulis sahaja.  Tiada kena mengena dengan insan yang hidup atau mati. Jika ada, anggaplah secara kebetulan sahaja.



Buat semua rakan  saya telah menyiapkan satu nukilan cerita yang bertajuk “Apabila Syawal Datang Lagi” . Cerita ini hanya nukilan dari penulis sahaja.  Tiada kena mengena dengan  insan yang hidup atau mati. Jika ada, anggaplah secara kebetulan sahaja dan andai yang terasa, mohon maaf banyak2...Selamat hari Raya ...Maaf Zahir Batin....

No comments:

Post a Comment